PROSIDING KAJIAN TINDAKAN

MENINGKATKAN INGATAN MURID TERHADAP ADAB SEBELUM MAKAN DAN MINUM
MENGGUNAKAN TEKNIK ‘MY FINGER MAP’
DALAM KALANGAN MURID TAHUN 1

Oleh:
ZUBAIDAH BINTI AWANG MUSTAFA

USTAZ MOHD FAHMIDIN BIN YAZAN

ABSTRAK

Kajian tindakan  ini adalah berfokuskan kepada penggunaan teknik ‘My Finger Map’ dalam bidang Adab dan Akhlak Islamiah bagi mengatasi masalah murid yang menghadapi masalah untuk mengingat adab-adab sebelum makan dan minum. Kajian ini telah melibatkan tiga instrumen iaitu lembaran kerja, pemerhatian dan soal selidik untuk menganalisis masalah yang dihadapi. Seramai sepuluh orang murid yang dikenalpasti menghadapi masalah tersebut. Mereka yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada lapan orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Dapatan daripada kajian telah menunjukkan responden tidak dapat mengingati adab tersebut walaupun telah didedahkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sebelumnya. Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji telah menjalankan intervensi dengan menggunakan Teknik ‘My Finger Map’. Setelah intervensi dijalankan, pengkaji mengumpul data-data melalui tiga bentuk instrumen yang berbeza bagi menjawab dua soalan kajian. Lembaran kerja, pemerhatian dan soal selidik telah dijalankan untuk mendapatkan data. Dapatan kajian mendapati bahawa murid dapat mengingat adab-adab sebelum  makan dan minum dengan baik setelah intervensi teknik ‘My Finger Map’. Hasilnya 100% daripada responden telah menunjukkan peningkatan markah  dalam lembaran kerja mereka. Dari segi pemerhatian tingkah laku negatif pula, hasil telah menunjukkan penurunan sebanyak 80%. Malah analisis soal selidik juga mendapati 80%  daripada responden dapat belajar dengan lebih baik apabila melakar ‘My Finger ‘Map’.

Kata Kunci: Meningkatkan, ingatan, Adab Sebelum Makan dan Minum, ‘My Finger Map’

  1. Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran (pdp)

Pada sesi pengajaran dan pembelajaran bertajuk Adab Makan dan Minum yang lalu, saya telah menggunakan kaedah simulasi, tunjuk cara dan  penerangan. Semasa membuat  simulasi di dalam kelas terdapat beberapa orang murid yang tidak melakukan adab-adab sebelum makan dan minum dengan baik. Hal ini boleh menyebabkan kepincangan dalam kefahaman serta pengaplikasian adab-adab sebelum makan dalam kehidupan mereka. Tambahan juga semasa proses penilaian terdapat separuh daripada murid dalam  kelas tersebut yang tidak dapat menjawab soalan lembaran kerja dengan betul. Manakala setelah membuat pemerhatian di kantin juga didapati ramai murid daripada kelas ini yang tidak mengaplikasikan adab-adab sebelum makan dan minum dengan betul. Dalam pada masa yang sama juga, saya cuba mencerminkan diri dan menyenaraikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini mungkin berpunca daripada kelemahan diri saya sendiri.

  1. Fokus Kajian

    1. Tinjauan Awal

Masalah yang telah dikenalpasti adalah murid sukar untuk mengingat adab-adab sebelum makan dan minum dengan betul dan hilang  minat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini berlaku kerana jumlah murid yang ramai di dalam bilik darjah yang menyebabkan mereka tidak sabar untuk menunggu giliran mereka beraktivti. Selain itu murid–murid ini juga belum dapat menguasai tulisan jawi dengan baik dan ini merupakan salah satu punca murid tidak dapat mengecam dan mengenalpasti adab- adab sebelum makan dan minum dengan betul. Justeru, saya telah memperkenalkan  teknik ‘My Finger Map’ bagi  mengatasi masalah  tersebut.

2.2   Analisis Tinjauan Awal

Masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini telah saya perhatikan  melalui semakan lembaran kerja murid dan semakan buku aktiviti mereka. Berdasarkan kepada analisis ini, jelas menunjukkan bahawa terdapat satu per tiga daripada murid-murid kelas ini yang menghadapi masalah untuk mengingat adab-adab sebelum makan dan minum walaupun kaedah simulasi telah diperkenalkan. Melalui lembaran kerja yang dibekalkan, saya dapati murid-murid sukar untuk mengingat adab-adab sebelum makan dan minum. Berdasarkan analisis melalui pemerhatian pula, saya dapati murid kurang berminat dan hilang fokus terhadap pembelajaran melalui teknik simulasi yang diketengahkan. Hal ini seterusnya menyebabkan mereka gagal untuk mengingat adab-adab sebelum  makan dan  minum dengan baik
2.3    Tinjauan Literatur
Untuk menarik minat serta meningkatkan daya ingatan murid terhadap sesuatu pelajaran dengan menghubungkan pengetahuan sedia ada mereka dengan maklumat adalah melalui penggunaan  peta minda. Hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan oleh Lim Kui Lik yang bertajuk  PENGGUNAAN PETA MINDA DALAM MENINGKATKAN KEFAHAMAN DAN INGATAN MURID TAHUN 4 DALAM SUBJEK SAINS telah membuktikan bahawa penggunaan peta minda dapat meningkatkan daya ingatan murid terhadap topik Sains yang diajar. Ia memberikan kesan yang positif sama ada dalam aspek kefahaman murid serta minat dan motivasi murid-murid melalui sikap serta tahap penglibatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains. Beliau mendapati bahawa para responden mula memberikan perhatian dalam kelas dan lebih bermotivasi untuk belajar selepas didedahkan dengan kaedah peta minda. Ismail (2009) seorang pakar motivasi menyatakan bahawa penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan serta memudahkan otak untuk membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna. Pernyataan ini dipetik daripada laman web Utusan Malaysia. Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah telah ditegaskan oleh Dhilip Mukerjea (1996), dalam bukunya yang bertajuk “Superbrain”. Beliau telah mengenalpasti bahawa melalui penggunaan peta minda seseorang itu dapat ..learn MORE, remember MORE, use LESS paper, invest LESS effort yang bermaksud …melalui penggunaan peta minda, seseorang murid akan memperoleh ilmu dengan lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.

  1. Objektif Kajian / Soalan Kajian
3.1 Objektif Khusus

Objektif Khusus Kajian Tindakan ialah responden dapat:
a). Meningkatkan ingatan murid terhadap adab-adab sebelum makan dan minum menggunakan teknik “My Finger Map”.
b). Meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran Adab Sebelum Makan dan minum menggunakan teknik “My Finger Map.
    1. Soalan Kajian
a). Adakah penggunaan teknik ‘My Finger Map’ dapat meningkatkan daya ingatan murid terhadap adab-adab sebelum  makan dan minum?
b). Adakah minat murid terhadap pembelajaran adab-adab sebelum makan dan minum dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknik ‘My Finger Map’?

  1. Kumpulan Sasaran
Kajian yang dijalankan ini melibatkan seramai sepuluh orang murid daripada kelas 1 Venus SK Seri Permai, Bayan Baru Pulau Pinang. Mereka terdiri daripada lapan orang murid lelaki dan dua orang  murid perempuan, dan berbangsa Melayu. Kesemua mereka juga adalah murid-murid yang telah dikenal pasti menghadapi masalah untuk mengingat adab-adab sebelum makan dan minum setelah proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Perkara ini telah dikenal pasti melalui tinjauan yang telah dilakukan ke atas tahap pencapaian mereka melalui soalan-soalan pada lembaran kerja serta pemerhatian yang dilakukan.
  1. Pelaksanaan Kajian
Model Kajian Tindakan yang telah saya gunakan bagi melaksanakan kajian ini adalah Model Stephen Kemmis (1983). Berdasarkan kepada model ini, terdapat empat elemen yang utama, yang menjadi tonggak kepada pelaksanaan model ini secara keseluruhannya. Elemen-elemen yang dimaksudkan ini adalah; refleksi, perancangan, tindakan dan pemerhatian. Berdasarkan kepada permasalahan dalam kalangan murid yang dikenal pasti hasil daripada tinjauan terhadap sesi-sesi pdp yang dijalankan, saya telah merancang untuk menggunakan teknik ‘My Finger Map’ bagi membantu meningkatkan  ingatan murid terhadap adab-adab sebelum makan dan  minum. Sebelum pelaksanaan pdp menggunakan teknik ‘My Finger Map’  saya telah mengedarkan lembaran kerja yang berkaitan tajuk bagi mengenal pasti kumpulan sasaran.  Seterusnya para responden  menjalani satu siri pdp dengan pengaplikasian teknik ‘My Finger Map’. Dua lembaran kerja telah diberikan kepada murid dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan prestasi mereka. Di samping itu, pemerhatian turut diambil kira bagi melihat tingkah laku para responden iaitu tahap minat mereka semasa intervensi dijalankan. Setelah intervensi dilaksanakan, borang soal selidik diedarkan bagi mengenal pasti respon mereka sepanjang mengaplikasikan ‘My Finger Map’. Perbandingan pencapaian murid dalam lembaran kerja sebelum dan selepas intervensi telah dibuat dan dianalisis. Hasil dapatan ketiga-tiga instrumen telah dianalasis bagi mengukur tahap pencapaian objektif kajian ini.
  1. Analisis Data
6.1   Analisis Dokumen (Lembaran Kerja)
Melalui kajian ini, saya telah mengumpul data dengan memberikan lembaran kerja yang dinilai sebelum dan selepas intervensi dijalankan. Hal ini bertujuan untuk melihat tahap perkembangan murid bagi sesuatu masa selepas menjalani sesuatu sesi pdp. Dengan cara ini juga, saya juga dapat memperbaiki stretegi dan kaedah dalam sesuatu sesi pdp yang seterusnya bagi membantu meningkatkan  tahap penguasaan murid. Hasil analisis adalah seperti yang direkodkan pada Jadual 6.1.
Jadual 6. 1
Rekod perbandingan peratusan markah lembaran kerja sebelum dan selepas intervensi serta grednya

Responden

Skor Markah
Lembaran kerja (Sebelum Intervensi)

Gred

Skor Markah
Lembaran kerja
(Selepas Intervensi)

Gred

Peningkatan Markah
R1
40
E
60
C
20
R2
40
E
60
C
20
R3
20
F
60
C
40
R4
40
E
60
C
20
R5
40
E
80
B
40
R6
20
F
80
B
60
R7
20
F
60
C
40
R8
40
E
60
C
20
R9
40
E
60
C
20
R10
40
E
60
C
20

Berdasarkan jadual 6.1 di atas, saya dapat membuat kesimpulan bahawa pencapaian bagi setiap responden adalah meningkat dalam markah lembaran kerja yang dibuat selepas intervensi. Merujuk kepada jadual di atas, seramai 2 orang responden yang mencapai gred B manakala lapan orang lagi telah mencapai gred C. Jadi secara keseluruhan sebanyak 20% responden telah mendapat gred B dan sebanyak 80% daripada responden telah mendapat gred C. Pencapaian ini jelas menunjukkan peningkatan hasil daripada intervensi yang dilaksanakan dengan pencapaian sebelumnya iaitu tiada seorang pun yang mendapat gred B dan gred C. Gred pencapaian responden tertinggi sebelum intervensi yang dicapai oleh mereka ialah pada gred E iaitu seramai 7 orang yang mendapat markah 40%dan terdapat  tiga orang responden yang masing-masing mendapat markah sebanyak 20% iaitu berada pada gred F yang boleh dikategorikan sebagai gagal. Berdasarkan dapatan tersebut, dapat saya simpulkan bahawa  setelah intervensi dijalankan pencapaian responden dalam lembaran kerja dapat dipertingkatkan iaitu kesemua responden telah berada dalam kategori menguasai berdasarkan Julat Gred Sekolah Rendah. Kesemua responden atau 100% daripada responden telah mendapat markah lulus dalam lembaran kerja selepas intervensi dijalankan.
6.2 Analisis Pemerhatian

Analisis pemerhatian yang saya laksanakan adalah melalui borang senarai semak yang dikumpulkan melalui rakaman, seperti yang direkodkan pada Jadual 6.2. Berdasarkan jadual di bawah, dapat dilihat bahawa kesemua murid telah menunjukkan kelakuan yang positif bagi kelima-lima aspek pemerhatian yang diteliti.Walaupun pada sesi pemerhatian sebelum intervensi dijalankan, terdapat murid yang telah menunjukkan kelakuan yang negatif dalam aspek-aspek pemerhatian yang tertentu, namun pada akhir sesi pemerhatian yang dilakukan iaitu semasa intervensi, didapati terdapat penurunan kelakuan negatif dalam bilik darjah. Hal ini juga memberi gambaran bahawa teknik ‘My Finger Map’ telah berjaya dalam membantu menarik perhatian dan fokus para responden dan seterusnya dapat meningkatkan minat mereka terhadap sesi pdp yang dijalankan, khususnya yang melibatkan tajuk Adab Sebelum Makan dan Minum.

Jadual 6.2
Perbezaan kekerapan tingkahlaku negatif



Sebelum Intervensi
Semasa Intervensi
Bil
Item-item Tingkah Laku Negatif
kekerapan
kekerapan
1
Ingkar arahan guru
/
0
2
Mengganggu kawan
///
0
3
Menconteng buku
0
0
4
Bermain
///
0
5
Kurang tumpuan
///
//
Jadual  6.2 menunjukkan perbezaan kekerapan tingkahlaku negatif sebelum dan semasa intervensi dilaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran.sesi pemerhatian ini dibuat adalah dengan meneliti rakaman video yang dirakam. Berdasarkan jadual di atas, sebelum intervensi dijalankan terdapat seorang responden yang mengingkari arahan guru supaya duduk di tempat sendiri dan bersabar menunggu giliran untuk melakonkan simulasi di meja makan. Manakala terdapat 3 orang responden yang mengganggu rakan dengan bercakap-cakap dan berbual-bual. Bagi item menconteng buku, didapati tiada seorang responden pun yang berbuat demikan. 3 orang lagi responden lagi bermain-main semasa rakan-rakan mereka melakukan simulasi. Sebelum intervensi dilaksanakan juga terdapat responden yang kurang tumpuan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala semasa intervensi dilaksanakan iaitu melalui pemerhatian saya,  pengurangan tingkah laku negative responden  jelas  menunjukkan perubahan  ke arah yang positif kerana menunjukkan penurunan malah tiada langsung berlaku ingkar arahan, mengganggu rakan dan menconteng buku.

6.3 Analisis Item Soal Selidik
Saya telah memilih soal selidik bentuk tertutup. Hal ini kerana murid-murid saya belum lancar membaca tulisan jawi serta murid-murid saya baharu sahaja melangkah ke tahun satu, jadi saya memilih untuk menggunakan soal selidik bentuk tertutup yang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan penggunaan soal selidik ini ialah jawapan telah disediakan dan mudah untuk menganalisis jawapan yang diberikan. Item-item dalam soal selidik ini akan mengumpulkan data-data yang berkaitan dengan persoalan kajian yang kedua iaitu meningkatkan minat murid belajar dengan menggunakan kaedah My Finger Map. Hasil daripada jawapan yang diberikan saya akan menganalisis menggunakan kaedah peratusan.

Jadual 6.3
Perbandingan dapatan soal selidik sebelum dan selepas intervensi


BIL

SOALAN
SEBELUM
SELEPAS
YA
TIDAK
YA
TIDAK
1
Saya lebih suka belajar dengan melakukan sesuatu dalam kelas.
8
2
9
1
2
Saya lebih mengingati sesuatu apabila saya menyertai aktiviti.
6
4
9
1
3
Saya belajar dengan lebih baik jika guru memberi penerangan.
10
0
10
0
4
Saya belajar dengan lebih baik apabila melakar ‘My Finger Map’ sambil belajar.
7
3
8
2
5
Saya lebih berminat untuk belajar menggunakan ‘My Finger Map’
8
2
10
0

Jadual 6.3 di atas adalah hasil dapatan soal selidik yang dijawab oleh responden sebelum dan selepas pelaksanaan intervensi. Jika dilihat sebelum intervensi dilaksanakan, saya telah menganalisis respon daripada mereka. Menurut jadual di atas, kesemua responden bersetuju bahawa mereka akan belajar lebih baik jika guru memberi arahan terhadap sesuatu tugasan dalam bilik darjah.  Mereka berasa yakin dengan arahan yang diberikan oleh guru. Manakala bagi item pertama dan kelima, masing-masing terdapat 8 orang responden yang bersetuju dengan pernyataan tersebut serta 2 orang pula tidak bersetuju. Iaitu seramai 8 orang yang bersetuju bahawa mereka lebih suka belajar dengan melakukan sesuatu di dalam bilik darjah. Begitu juga dengan item kelima iaitu terdapat 8 orang responden yang bersetuju bahawa mereka lebih berminat untuk menggunakan ‘My Finger Map’. Seterusnya, bagi item kedua seramai enam orang responden, manakala selebihnya tidak bersetuju. Bagi item keempat pula, seramai 7 orang yang bersetuju dengan penyataan tersebut. Secara keseluruhannya dapatlah saya simpulkan bahawa setelah intervensi dilaksanakan saya dapati  respon yang baik iaitu persetujuan dengan item-item pada soalan soal selidik. Hanya sebilangan kecil daripada responden sahaja yang tidak bersetuju dengan penyataan soal selidik tersebut.
  1. Dapatan Kajian / Refleksi

7.1 Dapatan Kajian

Berdasarkan dapatan kajian ini, ketiga-tiga instrumen yang digunakan telah dapat menjawab kedua-dua soalan kajian.  Bagi menjawab soalan kajian pertama iaitu adakah ingatan murid terhadap adab-adab sebelum makan dan minum dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknik ‘My Finger Map’?, alat-alat kajian yang digunakan telah menghasilkan dapatan yang amat positif. Antara alat-alat kajian yang telah digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian dan soal selidik . apabila melihat kepada lembaran kerja yang dijawab oleh kesemua subjek, dapat dibuat kesimpulan bahawa semua subjek menguasai tajuk pelajaran ini berbanding sebelum intervensi dilaksanakan. Jika sebelum intervensi dijalankan, 30% daripada  subjek hanya mendapat 20 markah  dan sebanyak 70% daripada mereka telah mendapat 40 markah. Hal ini bermaksud terdapat tiga orang murid telah gagal. Berbanding dengan keputusan selepas intervensi dilaksanakan iaitu semua subjek telah menguasai tajuk pelajaran tersebut. malah ada dua orang subjek yang mencapai markah 80% iaitu berada pada gred B. sementara itu seramai lapan orang daripada subjek yang telah mendapat  markah sebanyak 60%.  Hasil daripada keputusan ini menunjukkan peningkatan markah bagi setiap subjek sekaligus menentukan kesemua daripada mereka telah menguasai tajuk pelajaran tersebut.
Sepanjang pemerhatian berstruktur dijalankan pula, ia turut menunjukkan penurunan pada setiap item tingkah laku negatif. Hal ini telah meyakinkan saya bahawa kajian ini dapat menjawab soalan kajian yang kedua iaitu adakah minat murid terhadap pembelajaran adab-adab sebelum makan dan minum menggunakan  teknik ‘My Finger map’ . Buktinya dapat diteliti melalui hasil analisis daripada pemerhatian yang dibuat iaitu hanya terdapat satu sahaja tingkahlaku negatif yang masih berlaku semasa proses pemerhatian iaitu kurang tumpuan. Namun ia telah berkurang daripada sebelum intervensi ini dilaksanakan. Pengurangan tersebut adalah sebanyak 10%. Walaubagaimanapun tiada lagi subjek-subjek yang ingkar arahan, mengganggu rakan, menconteng buku dan bermain.

Seterusnya, bagi instrument yang ketiga iaitu soal selidik pula turut dapat menjawab soalan kajian pertama dan kedua.  Berdasarkan kepada hasil dapatan soal selidik menunjukkan 90% daripada subjek yang lebih mengingati sesuatu apabila menyertai sesuatu aktiviti semasa sesi pengajaran dan pembelajaran serta 100% daripada mereka dapat belajar dengan lebih baik jika menggunakan ‘My Finger Map’. Perkara ini telah menjawab soalan kajian yang pertama. Begitu juga dengan item pertama menunjukkan sebanyak 90% daripada subjek lebih suka belajar apabila melakukan sesuatu di dalam kelas. Dapatan ini jelas dapat menjawab soalan kedua iaitu adakah minat murid terhadap pembelajaran adab-adab sebelum makan dan minum dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknik  ‘My Finger Map’. Di samping itu 100% daripada subjek dapat belajar dengan baik apabila mendengar arahan daripada guru.  
7.2 Refleksi

Saya dapati penggunaan ‘My Finger Map’ mampu menjadi salah satu daripada bahan bantu belajar (bbb) yang berkesan untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran  terutama kepada  murid yang belum menguasai bacaan tulisan jawi. Melalui pengaplikasian ‘My Finger Map’  dapat membantu meningkatkan ingatan murid terhadap adab-adab sebelum  makan dan minum serta meningkatkan minat murid tahun satu untuk mempelajari adab-adab sebelum makan dan minum. Melalui pemerhatian yang dibuat, saya dapati murid bertambah fokus dengan melihat ‘My Finger Map’ tersebut. Hal ini boleh dibuktikan lagi t apabila kedua-dua objektif khusus dapat dicapai iaitu meningkatkan ingatan murid terhadap adab-adab sebelum makan dan minum   teknik ‘ My  Finger Map’ dan meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran adab-adab sebelum makan dan minum menggunakan teknik ‘My Finger Map’. Walau bagaimanapun terdapat  keterbatasan dalam mengaplikasikan teknik ‘My Finger Map’ ini iaitu memerlukan kekuatan kognitif dan fokus yang tinggi semasa proses pengajaran  dan  pembelajaran di dalam bilik darjah. Justeru, teknik ini memerlukan kepada suatu bentuk kajian lanjutan yang efektif bagi melihat keberkesanannya pada suatu tahap diluar daripada aspek kajian yang telah saya jalankan ini.

8.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Setelah melihat hasil dapatan kajian yang telah diperoleh secara keseluruhannya, saya mendapati bahawa penggunaan teknik ‘My Finger Map’ ini dapat meningkatkan ingatan murid tahun satu terhadap adab-adab sebelum makan dan minum. Walau bagaimanapun saya dapati terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan agar bahan bantu belajar ini  diaplikasikan  dengan lebih berkesan pada masa yang akan datang. Saya berharap segala kekurangan yang wujud dalam kajian tindakan ini dapat diperbaiki dalam kajian-kajian yang akan datang. Perkara ini sangat penting bagi menambahbaik amalan P&P sedia ada dan seterusnya dapat meningkatkan profesionalisme keguruan. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk kajian pada masa yang akan datang. Antara cadangan tersebut ialah :

  1. Dalam kajian ini saya memfokuskan kepada tajuk adab-adab sebelum makan dan minum sahaja, tetapi bagi kajian lanjutan saya mencadangkan agar kajian diteruskan dengan pengaplikasian ‘My Finger Map’ semasa proses P&P bagi tajuk-tajuk yang mempunyai 5 atau 10 perkara seperti Rukun Islam dan 10 Malaikat.

  1. Hasil kajian ini juga saya dapati subjek kajian dapat mengingati adab-adab sebelum makan dan minum dengan betul selepas menggunakan teknik ‘My Finger Map’ dalam sesi P&P. jadi saya ingin mencadangkan agar kajian lanjutan akan mengambil responden yang lebih ramai bagi meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan hasil dapatan.  Di samping itu, masa juga perlu dilanjutkan supaya lebih banyak masa untuk melaksanakan P&P menggunakan ‘My Finger Map’ ini.

RUJUKAN

Buku
Ahmad Mohamed Salleh, (2011) Pengajian Agama Islam Dan j-QAF Metadologi dan Pedagogi Pendidikan. Selangor: (OxfordFajar ) Sdn. Bhd.

AsmawatiSuhaid.( 2009 ). Pendidikan Akhlak dan Adab Islam. KualaLumpur :Utusan Publication & Distributriours Sdn. Bhd.

Azizi Yahaya. ( 2006 ). Menguasai Penyelidikan Dalam Penyelidikan : Teori Analisis & Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS professional Publishing Sdn. Bhd.

Ilyas Putih.( 2009 ). Kajian Tindakan Di sekolah Satu Pengalaman. Shah Alam: (Pure Honey Enterprise).

Jamiah binti Abdullah, (2006).  Penggunaan Peta Konsep Dalam Meningkatkan Sikap Dan Minat Pelajar. Jurnal Klinik Penyelidikan. 01. 186-200.
RosenahEdinin. ( 2012 ). PenyelidikanTindakan : KaedahdanPenulisan . Kuala Lumpur :Freemind Horizon Sdn. Bhd.

Siti Aisyah binti Muhammad Ilyas.( 2009 ). Mengajar Secara Afektif (terjemahan). Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Sdn. Bhd.

Laman Web
Diakses pada 15/04/2015
Diakses pada 15/04/2015
Diakses pada 15/04/2015
Diakses pada 15/04/2015


Comments

Popular posts from this blog

Kekuatan dan Kelemahan Kaedah Huruf dalam Pelajaran Jawi