Kekuatan dan Kelemahan Kaedah Huruf dalam Pelajaran Jawi

Kekuatan 

Penekanan terhadap nama abjad dan bunyi suku kata sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Kecuali bentuk dwihuruf (digraf) seperti konsonan ng dan diftong ai, umumnya satu huruf dalam bahasa Melayu melambangkan satu bunyi sahaja.

Setiap perkataan pula mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya satu suku kata. Suku kata itu terhasil dengan menggabungkan satu atau lebih daripada satu konsonan dengan satu vokal atau diftong.

Dengan perkataan lain, struktur suku kata bahasa Melayu bersifat tetap dan mudah dikenal pasti. Hal ini memudahkan murid mengingat dan menyebut suku kata. Apabila murid menguasai suku kata, mereka dapat membentuk perkataan. Seterusnya, murid dapat membentuk apa-apa sahaja perkataan baharu dengan suku kata itu walaupun mereka tidak memahami makna perkataan itu. Rumusannya, kaedah ini menyediakan asas yang kukuh kepada murid untuk membaca.

Kaedah ini mudah dikendalikan dan tidak memerlukan alat bantu belajar yang banyak. Berbekalkan pengalaman belajar membaca dengan menggunakan kaedah ini dan dengan menggunakan sumber yang minimum seperti buku, ditokok dengan kesungguhan dan kesabaran, sesiapa sahaja dapat mengajarkan bacaan kepada mana-mana kumpulan sasaran dengan menggunakan kaedah ini.

Guru sekolah rendah dapat melaksanakan kaedah ini berpandukan buku dan dengan menggunakan carta abjad, carta suku kata dan kad perkataan. 

Kelemahan

Hasil kaedah ini hanya dapat dilihat setelah pembelajaran berlaku lebih kurang enam bulan. Tempoh ini sangat lama.

Bacaan murid mungkin kurang lancar. Hal ini disebabkan murid terlazim dengan proses mengeja, iaitu menamakan huruf dan menyebut suku kata sebelum menyebut sesuatu perkataan.

Ada kemungkinan murid keliru antara nama huruf dengan bunyi huruf. Implikasinya, kesilapan dapat berlaku apabila mereka silap memecahkan perkataan kepada suku kata. Ada juga kemungkinan mereka tidak memahami apa-apa yang dibaca kerana terlalu mementingkan ejaan.

Kebolehan murid berbeza-beza. Bagi murid yang bermasalah pembelajaran, mereka berasa terbeban dan cepat bosan jikalau diajar dengan kaedah ini.

Kaedah yang bersifat binaan ini bertentangan dengan pandangan ahli psikologi yang mengatakan bahawa kanak-kanak menguasai sesuatu daripada keseluruhan membawa kepada bahagian-bahagiannya. 

(sumber : Blog)

Comments

Popular posts from this blog

PROSIDING KAJIAN TINDAKAN